Thursday, August 27, 2009

Jalan yang salah

Setitis air mata mengalir perlahan-lahan daripadanya. Titisan ini jatuh di atas lantai permaidani, terus menghilang dalam fabrik lembut seperti sebuah harapan yang gaib entah ke mana. Wajahnya masih ayu tetapi penuh dengan duka. Titisan demi titisan telah membasahi permaidani yang menghiasi ruang legar sebuah hotel terkemuka di Ibu Kota.

Bayangan seorang lelaki bersama seorang perempuan telah lesap dari pandangan. Lelaki empat puluhan yang membawa seorang wanita serba menawan memang jelas adalah lelaki yang pernah disayanginya dengan sepenuh hati. Hatinya seperti diguris duri bunga ros, mengalirkan darah kesedihan dan kekecewaan. Buat seketika Wati mempertikaikan perkara yang telah berlaku di hadapan matanya sendiri. Kemudian dia sedar realiti tetap realiti. Tidak kira beribu-ribu alasan diberikan kepada dirinya untuk menolak kenyataan itu, ia tetap realiti.

Sekeping kertas tisu yang berwarna putih suci dikesat perlahan-lahan pada pipi basah Wati, mengeringkan muka ayu yang dibasahi air mata. Lelaki itu tidak berkata-kata, hanya terus mengelap air matanya dengan sekeping kertas tisu yang baru. Mata lelaki itu memandang dalam-dalam mata Wati yang masih basah, seolah-olah menasihatinya untuk melupakan Si bedebah yang jahanam itu.

Wati amat menyesal kerana telah memilih jalan yang membawanya ke penghujung jalan yang tiada kegembiraan. Wati menyesal kerana tidak memilih jejaka yang masih menghulurkan kertas tisu kepadanya pada saat-saat memeritkan hati ini. Tiga tahun lalu, Wati telah memilih untuk bernikah dengan Zaidrus kerana Zaidrus lebih pandai mengambil hatinya daripada Zul. Sekarang Wati sudah sedar betapa bodoh dirinya ketika itu.

No comments: