Saturday, August 29, 2009

Ketamakan 2

Cerita yang disampaikan ini bukanlah sambungan daripada cerita pertama tetapi berlaku di pekan yang sama. Ingat, cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak berkaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Jadikanlah moral cerita ini menjadi pedoman hidup.

Cerita ini pula mengenai seorang cikgu dan seorang juruwang, Mary dan John. Mary dan John ini adalah suami isteri yang hidup di pekan kecil. Gaji mereka tidak seberapa, hanya mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga bertiga ini, termasuk seorang anaknya yang mula bersekolah di sekolah rendah.

Walaupun gaji mereka tidak seberapa, tetapi anehnya Mary menikmati kehidupan seperti selebriti. Pakaian yang bernilai beratus-ratus ringgit, kereta mewah, rumah banglo, peercutian di negara Eropah dan tinggal di hotel terkemuka yang mahal sekali memang menjadi idaman semua rakan sekerja. "Tengok! Suami Mary ini sangat bernasib baiklah. Selalu kena loteri", kata seorang rakan sekerjanya.

Dari mana datangnya wang ini? Untuk menceritakan asal-usul wang ini, kita akan menceritakan tentang diri John. John bekerja sebagai juruwang di sebuah bank. Bekerja di bank berkaitan langsung dengan wang. Semasa John menjual pelbagai jenis amanah saham di bank, dia telah menggelapkan wang-wang yang dilaburkan oleh orang lain. Jumlah yang telah digelapkannya mencecah ratusan ribu. John juga pergi mempromosi dan menjual saham-saham ini di perkampungan dan pedalaman. Dia memilih tempat-tempat ini kerana dia tahu mereka ini lebih senang diperdayakan.

Syaitan telah memberikan begitu banyak wang kepada John dan keluarganya untuk menikmati kemewahan hidup. Syaitan juga yang telah membinasakan keluarganya kerana menikmati kemewahan dengan wang haram itu.

Muslihat keji ini telah didapati oleh pihak atasannya kerana beberapa orang pelanggan mula mengadu tentang ketepatan maklumat pelaburan mereka dalam bank. Perkara ini telah menjadi kes polis. John telah menghilangkan diri setelah mendapati muslihatnya sudah diketahui dan polis mulai memburunya.

Selepas John menghilangkan diri, orang ramai telah beralih kepada Mary untuk menuntut kembali wang-wang mereka. Jumlah yang dituntut itu bukan kecil. Lihatlah rumah, kereta, pakaian dan cara hidup mereka yang lalu kini mahu dituntut kembali. Sebilangan orang mengupah samseng untuk menuntut wang ini. Semua orang ini mengerumuni rumah Mary setiap hari.

Apabila Mary mahu pergi bekerja, dia menelefon polis. Apabila peronda polis datang, samseng-samseng akan menghilangkan diri dan Mary mengambil peluang ini untuk keluar rumah. Bagitu juga apabila Mary balik ke rumah, dia akan memanggil polis lagi. Samseng-samseng tidak dapat membuat apa-apa terhadapnya.

Samseng-samseng telah menyebarkan khabar angin mereka akan menculik anaknya memandangkan mereka tidak dapat sesen pun selama beberapa hari. Kali ini Mary mula ketakutan. Dia risau sesuatu perkara buruk akan berlaku kepada anak kesayangannya.

Mary meminta pertukaran kecemasan dan segera diluluskan oleh Pejabat Pendidikan. Baju-bajunya yang berharga, komputer, televisyen, perabot, alat-alat elektrik di rumah telah dilelong murah kepada jiran-jiran. Dia terus berpindah pada hari keesokan.

Tiada khabar mengenai mereka selepas itu. Tetapi khabar angin mengatakan John telah ditangkap polis dan meringkuk penjara. Entah betul atau palsu khabar angin itu.

Begitulah syaitan membisik kepada sebuah keluarga yang bahagia. Begitu jugalah syaitan merampas kemewahan dan kebahagiaan keluarga itu. Kita yang hidup di dunia ini terima rezeki sekadar cukup sahaja. Berilah sedekah seperti Allah memberi sedekah kepada umat manusia. Janganlah dikaburi ilusi yang direka oleh syaitan. Itu haram namanya.

No comments: