Monday, August 10, 2009

Kebebasan dalam Internet

Isu yang diwar-warkan kebelakangan ini mengenai Sekatan Internet atau dimaniskan dengan panggilan "filtration" dengan mengambil program "Green Dam" Negara China sebagai contoh. Saya sebagai seorang pengguna aktif internet dan seorang blogger yang mengakses internet lebih 10 jam sehari berasa begitu kesal dengan komplot yang bakal dilaksanakan ini.

Mengapakah saya mengenali cadangan ini sebagai komplot?

Selama ini janji-janji yang dilemparkan "pemimpin-pemimpin negara" begitu mengecewakan. Sedikit demi sedikit, keyakinan terhadap kata-kata mereka semakin terhakis. Dalam hal ini, rakyat tidak boleh disalahkan. Inilah naluri manusia, hilang keyakinan apabila dikecewakan.

Mereka mencadangkan maklumat-maklumat internet akan ditapis untuk menggelakkan bahan-bahan pornografik dan pemikiran-pemikiran yang mengugat keselamatan negara tersebar luas membisa minda rakyat Malaysia. Namun tujuan sebenar tindakan ini adalah untuk menghancur-kecaikan pihak pihak yang berani menentang mereka yang berpengaruh. Inilah taktik kotor yang menjijikkan, taktik kotor yang berselindung di belakang "kebaikan dan kemuliaan".

Motif memang jelas dan nyata:

1. MalaysiaToday milik Raja Petra Kamaruddin telah ditutup oleh MCMC kerana menyiarkan berita yang menjejaskan imej seorang pemimpin negara. Walaupun ditutup, laman ini telah dibangunakan sekali lagi dengan backup yang ada di server luar negara menyebabkan kuasa-kuasa besar ini gagal menutup mulut dan penanya.

2. Gutteruncensored telah menyiarkan gambar-gambar anak-anak "orang berkuasa besar" yang berpeluk-pelukan, berciuman dan meminum arak. Kuasa-kuasa besar sekali lagi mengarahkan laman ini dihalang untuk diakses oleh orang di Malaysia. Walaupun hingga kini laman ini masih dihalang, pengguna-pengguna masih bebas mengakses dan membaca dengan server by-pass.

3. Kekalahan teruk dalam pilihanraya yang lepas juga disalahkan ke atas internet yang menyebarkan fikiran-fikiran melalui penulisan dan video. PR lebih ke hadapan dan bijak dalam menggunakan kelebihan internet dalam pilihanraya ini membawa kekalahan kepada kuasa-kuasa besar.

Walaupun dikatakan bahawa cadangan ini hanya akan menghalang kandungan pornografik dan kandungan yang menjejaskan keselamatan negara tetapi saya kurang yakin kerana peluang ini akan diambil oleh kuasa-kuasa besar untuk menutup mulut sebahagian orang dalam internet, sebagaimana ISA digunakan untuk menahan musuh-musuh politik dalam Operasi Lalang dan Penahanan Hindraf, wakil pembangkang malah seorang pemberita, kononnya menangkapnya dengan ISA adalah untuk melindunginya. Rakyat dianggap bodoh dan banggang hingga sebegitu rupa.

Penggunaan internet perlulah berlandaskan "disiplin" dan "didikan", bukannya kawalan. Maka saya sebagai seorang blogger dan rakyat yang mempunyai hak bersuara ingin menyatakan bantahan saya terhadap cadangan untuk menyekat kebebasan penggunaan internet ini yang telah bercanggah dengan polisi Multimedia Super Coridor yang menjanjikan tiada sekatan ke atas internet akan dilakukan.


"Semakin kuat ia ditangkap, semakin susah ia dapat dipegang"

No comments: