Saturday, August 29, 2009

Ketamakan 1

Cerita ini adalah rekaan semata-mata dan tidak berkaitan dengan sesiapa yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Cerita ini dikongsi bersama hanya untuk menghayati nilai-nilai moral dan bukannya untuk menghina sesiapa yang secara kebetulan mempunyai pengalaman yang serupa. Cerita ini adalah mengenai seorang kontraktor elektrik yang tamak dan isterinya.

Kontraktor wayar dan elektrik ini bernama Ah Kiong dan tinggal di sebuah pekan kecil. Kerja-kerja Ah Kiong adalah untuk memasang wayar-wayar dan soket-soket dalam rumah yang baru dibina. Sikap Ah Kiong yang tamakkan wang memang diketahui seluruh pelusuk pekan.

Setiap kali Ah Kiong memasang wayar dan soket, dia akan memujuk pemilik rumah untuk memasang lebih banyak soket kerana dia mendapat untung yang lebih dengan soket dan wayar yang dipasang. Jikalau pemilik rumah enggan memasang soket berlebihan itu, maka Ah Kiong akan mengenakan caj lebihan kepada pemilik rumah. Ramai pemilik rumah hanya membayar sahaja kerana tidak mahu menimbulkan sebarang perselisihan dengan orang lain. Maklumlah hidup dalam pekan yang serba kecil ini memang aman damai. Tiada sesiapa ingin mewujudkan masalah.

Ah Kiong memiliki sebidang tanah yang penuh ditanam dengan pokok-pokok lada. Pada suatu hari, Ah Kiong menyuruh isterinya menghantar dua orang pekerja asing ke ladang pokok lada untuk melakukan kerja-kerja membaja dengan alasan dia tiada masa lapang. Justeru isterinya pun menghantar dua orang pekerja itu ke ladang dengan van putih miliknya.

Semasa dalam perjalanan, dua orang pekerja itu mengambil cangkul yang dibawa bersama dalam van lalu mengetuk kepala isteri Ah Kiong. Isteri Ah Kiong terus pengsan kerana ketukan yang kuat itu. Kepala isterinya berlumuran darah. Barang-barang kemas dan wang yang dibawa bersama telah dikebas oleh pekerja-pekerjanya lalu melarikan diri.

Isteri Ah Kiong telah diwadkan dalam hospital. Keadaannya begitu kritikal kerana tengkoraknya pecah dan telah mencederakan saraf-saraf otak. Matanya sudah hampir buta. Kawan-kawan isteri Ah Kiong datang melawatnya di hospital. Seorang kawannya, Mary telah memberitahu Ah Kiong, " Kinog, pergilah kepada isteri kamu tu. Sekarang ini dia paling perlukan sokonganmu."

Isterinya bernasib baik dan telah melimpasi saat-saat genting itu. Dia telah sembuh selepas tiga bulan di hospital dan kembali ke rumah untuk berehat.

Suatu hari, sebuah ambulans telah datang dan pulang selepas beberapa ketika. Selepas ambulans telah meninggalkan pagar rumah Ah Kiong, datang pula beberapa buah kereta polis dan sekumpulan forensik di rumahnya. Orang ramai berkumpul di luar pagar, berbisik-bisik dan meneka perkara yang berlaku di rumah Ah Kiong. Riuh satu pekan di luar rumah Ah Kiong.

Selepas sejam dalam rumah, Ah Kiong telah keluar dari rumah dan memberitahu jiran-jiran isterinya jatuh semasa pergi ke bilik mandi dan telah mati di bilik mandi. Terkejut semua orang mendengar berita ini. Selepas itu, Ah Kiong pun menaiki kereta polis meninggalkan perkarangan rumahnya. Berita isteri Ah Kiong mati kerana terjatuh dalam bilik mandi tersebar luas di pekan. Setiap orang dalam pekan bahkan kanak-kanak pun mengetahui isteri Ah Kiong mati kerana terjatuh dalam bilik mandi.

Selepas tiga hari, kereta polis yang sama telah kembali di hadapan rumah Ah Kiong. Kali ini Ah Kiong digari dan masuk ke dalam kereta. Mereka meninggalkan perkarangan rumahnya sama seperti tiga hari yang lepas tetapi dengan tangannya digari.

Ah Kiong dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh. Pembedahan siasat mendapati punca kematian bukannya kerana jatuh. Mereka telah menjumpai kesan cekikan pada leher mayat isterinya. Ah Kiong telah mereka situasi terjatuh itu untuk mendapatkan pampasan insuran yang dibeli ini tidak lama dahulu.

Wang itu kadang-kadang menjadi bisikan syaitan.
Manusia boleh menjadi syaitan kerana bisikan ini.

No comments: