Thursday, August 20, 2009

Sebuah Berita

Artikel di atas adalah artikel daripada Sin Chew Jit Poh bertarikh 21 Ogos 2009. Tajuknya yang berbunyi ”Kurang aktiviti menderma darah tetapi mendapar juara 8 tahun berturut-turut? Life Care Society mengesyaki Bulan Sabit Merah”.

Saya amat pasti tajuk ini akan memberi impak yang besar kepada kedua-dua organisasi ini secara amnya dan anggota-anggota sukarelawan yang berkhidmat secara khasnya. Saya sendiri yang terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan ini memahami dan amat jelas dengan perkara-perkara yang berlaku dalam organisasi sukarelawan.

Sebelum saya mengupas betul dan salah dalam artikel ini, saya ingin mengutarakan pendapat yang lebih adil dan saksama kepada kedua-dua pihak terlebih dahulu. Kita semua sedar dan tahu Bulan Sabit Merah dan Life Care Society adalah organisasi kesukarelawanan. Sumber kewangan, tenaga manusia dan strukturnya bergantung kepada sukarelawan. Kenyataan akhbar ini akan merosakkan nama kedua-dua pihak kerana sukarelawan dari kedua-dua pihak akan menyimpan prejudis dan dendam yang mendalam terhadap satu sama lain. Ini tentunya berlaku kerana kita semua ini adalah manusia. Selepas artikel ini dihadapkan ke muka masyarakat, maka kedua-dua organisasi ini sudah tiada lagi sebab yang baik untuk bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang sebenarnya amat bermanfaat kepada masyarakat jika kedua-dua organisasi ini berganding tenaga.

Saya inigin mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang menggunakan akhbar untuk memburuk-burukkan nama organisasi/ orang perseorangan dengan tujuan nama dan kuasa.

1. Jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat semasa sesuatu pertandingan, adukanlah kepada pihak penganjur. Membuat kenyataan akhbar sebegini hanya memburuk-burukkan nama organisasi lain tetapi tidak akan memberi apa-apa perubahan kepada keputusan. Tindakan kebudak-budakan ini adalah tindakan yang amat tidak rasional dan hanya bermotifkan kepentingan sendiri.

2. Kenyataan yang menyatakan aktiviti menderma darah yang kurang dalam Bulan Sabit Merah adalah sesuatu kenyataan yang dikemukakan oleh katak yang berada di bawah tempurung. Perkara ini hanyalah dilihat dari kanta mata sendiri. Adakah pihak tersebut sedar Cabang Miri adalah satu-satunya tempat di Malaysia yang menggunakan sistem pendermaan darah secara sukarela (tanpa penggantian darah selepas penggunaan)? Tahukah dia van menderma darah di Miri bergerak hampir setiap hari untuk aktiviti-aktiviti menderma darah yang mendapat berpuluh-puluh pint darah setiap kali? Tahukah pihaknya bahawa begitu banyak syarikat swasta, organisasi agama, dan kumpulan-kumpulan menubuhkan Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Bulan Sabit Merah dan menganjurkan pendermaan darah di bawah nama PBS?

3. Bulan Sabit Merah adalah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Palang Merah/ Bulan Sabit Merah dan menjadi ”auxillary” kepada kerajaan Malaysia. BSMM telah membantu kerajaan dalam merekod dan menguruskan rekod pendermaan darah sejak berdekad lamanya. Mengapa dipertikaikan tugas bersifat ”auxillary” ini untuk menguruskan rekod pendermaan darah? Adakah Life Care ingin mengambil alih tugas ini daripada Bulan Sabit Merah Malaysia?

4. Teras ”kesukarelawanan” telah teruk dipijak dalam aktiviti pendermaan darah di bawah anjuran Life Care Society. Pemberian beras kepada setiap penderma ini sudah menjadi sistem barter antara darah dan beras. Jika disebut secara kasar, ini menjual darah namanya. Dalam setiap publisiti mereka menyebut kuat dan lantang beras akan diberikan kepada setiap penderma. Adakah ini masih menjadi penderma sukarelawan? Ini tiada bezanya daripada parti politik yang memberikan wang sagu hati kepada pengundi, taktik yang kotor.

5. Pertikaian kelima yang ingin diutarakan adalah mengenai mendapatkan rawatan percuma Hospital kerajaan di semenajung. Mendapat rawatan percuma kerana telah menderma darah adalah sejenis ”privelleges” atau keistimewaan yang diberikan kepada penderma. Sekali-kalanya keistimewaan ini tidak digunapakai di sesuatu tempat. Contohnya kad diskaun sesuatu restoran tidak dapat digunapakai di cawangan restorannya di Genting Highland atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Adalah pengguna boleh mengadu ini tidak adil? Mengapakah tidak mengutarakan isu ini kepada Bulan Sabit Merah agar mereka boleh membincangkan perkara ini dengan Pusat Darah Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia?

Artikel yang disiarkan ini memang penuh dengan muslihat dan kepentingan sendiri dalam pandangan saya. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dalam organisasi kesukarelawanan. Organisasi kesukarelawanan sepatutnya lebih mementingkan perkhidmatan kepada masyarakat dan bukannya mewar-warkan sesuatu isu kecil dalam akhbar sehingga menjatuhkan nama organisasi lain. Perkara ini sepatutnya diselesaikan dengan cara yang lebih matang dan lebih bertoleransi. Andaikan perkara ini diselesaikan secara musyawarah, saya percaya aktiviti Life Care Society yang saya akan hadiri pada bulan September nanti akan lebih bermanfaat.

Kita berkhidmat untuk masyarakat, bukan untuk kepentingan.

Sekian pena untuk kali ini.

No comments: