Sunday, March 30, 2008

Profesionalisme Keguruan

Saya akan menerangkan serba sedikit tentang tugas-tugas sebagai seorang guru dalam persekitaran yang mementingkan profesionalisme pada hari ini.

Tugas seorang guru pada masa kini bukan lagi semudah yang diceritakan oleh generasi datuk nenek kita lagi. Tugas seorang guru jauh lebih mencabar apabila ibu bapa sudah berpendidikan tinggi dan masyarakat lebih mementingkan pendidikan generasi muda.

Setiap sesi pengajaran & pembelajaran perlu dijalankan dengan menarik, sistematik dan berkesan. Rancangan pengajaran harian perlu ditulis sebelum setiap sesi. Guru perlu sentiasa menyesuaikan teknik penyampaian sejajar dengan keperluan murid dengan mengambil kira keperluan secara individu dan secara keseluruhan dalam kelas. Ini agak mustahil dijalankan dengan baik kerana setiap manusia mempunyai keperluan berbeza apatah lagi dalam kelas sebanyak 50 orang. Namun guru masih perlu mengajar dengan cara terbaik dan membuat refleksi setiap sesi untuk mengetahui setiap kelemahan pengajaran dan membuat perubahan pada sesi seterusnya.

Tugas kedua terpenting dalam kehidupan guru adalah penilaian atau biasanya dikenali sebagai peperiksaan. Penilaian dijalankan untuk mengetahui kelemahan setiap murid dan mengetahui tahap pencapaian akademik murid-murid. Item penilaian perlu digubal secara sistematik dengan mengambil kira tahap bagi setiap soalan berdasarkan Teori Taksonomi Bloom. Item yang tidak seimbang, terlalu senang atau terlalu sukar akan ditolak dan perlu digubal semula. Selepas penilaian dijalankan, analisis keputusan keseluruhan dan secara individu perlu dibuat. Guru perlu mengisi borang analisis keseluruhan dan borang analisis individu. Guru perlu menyatakan sebab-sebab seseorang murid gagal dan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah. Jika terdapat 20 orang murid yang gagal dalam satu matapelajaran maka 20 set analisis sebab dan tindakan perlu disediakan.

Menyandang jawatan dalam organisasi sekolah ini juga bukanlah senang. Setiap guru akan dibahagikan dengan pakej tugas yang berlainan seperti menjadi ketua panitia, penyelaras tahun, guru IT, guru data, pengurusan buku teks, unit pusat sumber, disiplin dan sebagainya. Setiap tugas ini perlulah menyedia dan sentiasa mengemaskini sebuah fail meja tugas dan menjalankan tugas secara berkesan dan proaktif. Tiada alasan untuk menolak tugas-tugas yang diberikan kerana ini adalah kandungan pakej tugas seorang guru.

Selain tugas akademik, guru juga sumber tenaga pengajar penting dalam aktiviti ko-kurikulum. Setiap guru juga akan diberi tanggungjawab dalam bidang berbeza untuk melatih murid-murid dalam perkembangan ko-kurikulum mereka bagi membentuk insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Setiap guru bertugas akan memegang sebuah fail meja untuk dikemaskini dari semasa ke semasa.

Melayan ibu bapa bukanlah tugas yang disenaraikan dalam bidang tugas seorang guru tetapi hakikatnya guru perlu melayan kerenah ibu bapa yang datang ke sekolah untuk macam-macam perkara. Setiap perbincangan perlu dijalankan secara profesional dan setiap kata-kata perlulah disokong dengan data-data secara hitam putih. Tidak kurang juga situasi seperti ibu bapa yang tidak bersopan, menengking, ego, memandang rendah pada guru dan lain-lain. Ini sudah menjadi perkara biasa bagi seorang guru.

Menyemak buku latihan bukannya tugas yang sukar. Namun tugas ini menjadi sukar apabila jumlah murid dalam kelas terlalu ramai dan kelas yang diajar terlalu banyak. Secara puratanya setiap kelas mempunyai 45 orang murid dan setiap guru akan mengajar 4-6 matapelajaran. Kiralah jumlah buku latihan yang perlu disemak jika setiap murid menghantar sebuah buku. Tambahan pula dengan masalah murid tidak menghantar latihan dan kesalahan yang teruk dalam latihan akan menyukarkan tugas guru menyemak.

Inilah yang sempat saya kongsikan bersama pada hari ini. Harap profesion ini terus berkembang maju. Bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang ini, bacalah blog ini secara teliti dan fikirlah secara teliti sebelum anda menyesal dan tidak dapat berpatah balik. Jika anda betul-betul berminat, anggaplah semua ini sebagai cabaran untuk menjadi seorang guru yang profesional.

No comments: