Wednesday, April 9, 2008

Kenaikan Gaji Pegawai kerajaan - memberi kesenangan atau kepayahan?

Setelah mengumumkan kenaikan gaji tertinggi bagi kakitangan kerajaan pada tahun ini, kerajaan telah menekankan bahawa harga barang tidak akan naik. Atas jaminan kerajaan ini, kakitangan kerajaan merasai sedikit kesenangan dalam kehidupan. Namun, kesenangan ini menjadi keperitan tidak lama selepas itu.

Selepas seketika pengumuman barang tidak akan naik harga, Nestle telah meminta kerajaan meluluskan semua barangan Nestle naik harga. Kenaikan harga barangan Nestle menandakan tarikh luput bagi jaminan kerajaan kepada rakyat bahawa harga barangan tidak akan naik selepas gaji kakitangan ditingkatkan. Sebab kenaikan harga ini adalah "faktor yang tidak dapat dielakkan".

Isu ini tidak terhenti setakat ini. Menyusuli kenaikan barangan Nestle adalah kenaikan petrol, pengangkutan, tol, tepung dan gula. Kenaikan harga petrol telah menyumbang kepada kenaikan harga segala barang yang memerlukan penghantaran manakala kenaikan harga tepung dan gula menyebabkan kenaikan harga makanan. Ini bererti semua harga barang di pasaran sudah naik.

Apabila memikir balik tentang janji kerajaan bahawa harga barangan tidak akan naik berikutan kenaikan gaji, alangkah lucunya. Sekarang semua peniaga beria-ia menaikkan harga, insan yang merana adalah kakitangan kerajaan. Kumpulan makan gaji ini terpaksa menanggung segala beban untuk membiayai kenaikan harga barangan.

Permintaan CUEPACS untuk meminta bonus dan elaun kritikal sebenarnya tidak melampau, malah amat diperlukan oleh kakitangan Kumpulan Sokongan II. Siapalah dalam kabinet yang merasai keperitan hidup mereka dalam dunia yang penuh dengan macam-macam jenis bayaran tetapi hanya menerima gaji yang tidak seberapa? Kenaikan gaji ini sebenarnya tidak banyak meringankan beban kakitangan kerajaan, melainkan kenaikan gaji tidak disusuli dengan tindakan kenaikan harga barangan.

No comments: