Thursday, April 10, 2008

Bintangor makin popular

Berita Harian Edisi Wilayah
10 April 2008

Sabah&Sarawak: Bintangor makin popular
Oleh Matzidi Dris


SARIKEI: Bintangor sebuah daerah kecil yang terletak
kira-kira satu jam perjalanan menggunakan kenderaan
dari bandar ini, sememangnya dikenali dengan hasil
buah limau Bintangor selain limau bali.

Pekebun limau itu yang terdiri daripada masyarakat
Cina keturunan Foochow, biasanya menjual hasil tanaman
mereka di tepi jalan utama yang menghubungkan bandar
ini dan Sibu, masing-masing sejauh 44 dan 55
kilometer.



Daerah ini juga terkenal dengan limau susu yang sering
mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemarnya di
bahagian Sibu. Kebelakangan ini pula ramai pekebun
menanam limau pamelo berikutan permintaan yang tinggi.


Selain itu, nama Bintangor juga dikenali ramai kerana
ia adalah tempat kelahiran tokoh korporat terkemuka di
Bumi Kenyalang, Tan Sri Ting Pek Khiing.

Ting dikenali ramai kerana kemampuan beliau
melaksanakan beberapa projek mega dengan cepat dan
berkualiti seperti lapangan terbang, hotel, jejantas
dan bangunan sekolah bertaraf dunia di negara ini.


Bintangor juga adalah pusat pentadbiran daerah
Meradong yang mendapat nama daripada Sungai Meradong.
Pada 1930-an daerah ini dikenali sebagai Daerah Kecil
Binatang dengan mempunyai sebuah Pejabat Daerah Kecil
(bangunan papan) yang dibina di atas sebuah bukit (di
Jalan Mahkamah sekarang) bertindak sebagai pusat
pentadbiran bagi daerah ini pada waktu itu. Ia dinaik
taraf sebagai daerah penuh pada 1948.

Menurut cerita masyarakat di sini, asal - usul nama
¡°Binatang¡± pada daerah ini adalah berikutan satu
masa dulu kawasan ini menjadi tumpuan dan tempat
berkumpul binatang seperti monyet, pelanduk dan
sebagainya yang sering berkumpul di sini.

Maka kawasan ini yang masih dilitupi hutan belantara
ketika itu pun dinamakan "Binatang". Perubahan nama
"Binatang" ke "Bintangor" hanya dilakukan pada
1973 apabila Sarikei dinaik taraf ke Bahagian.

Pemilihan nama itu diambil sempena nama pokok
Bintangor, yang dipercayai boleh menjadi penawar
Acquired Immune Deficiency Syndrome (Aids). Tanaman
berkenaan banyak didapati di situ pada ketika itu.

Mercu tanda daerah Meradong adalah Limau Bintangor
yang boleh lihat di Pekan Bintangor. Limau Bintangor
adalah tarikan utama bagi daerah Meradong ini dengan
kebanyakannya ditanam di sepanjang kawasan pinggir
sungai dan di sepanjang jalan menuju ke Pekan
Bintangor.

Satu lagi tarikan terkini daerah Meradong adalah
jambatan yang berwarna merah merentasi Sungai Meradong
yang lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan
sebagai "Meradong Red Bridge". Selain itu, Kueh Tupi
Sago antara makanan tradisional yang diperbuat
daripada sagu juga satu tarikan unik bagi daerah ini.

Suloma Ludit, 24, berkata penduduk di daerah ini
terdiri daripada kaum Melayu, Cina, suku Iban, Melanau
dan lain-lain.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk di sini terbabit
dalam kegiatan pertanian seperti penanaman lada, padi,
limau, kelapa sawit, getah, koko, selain ada penduduk
yang menternak ayam, lembu dan kambing.

"Ada juga yang terbabit dalam industri pembalakan.
Manakala mereka yang tinggal di bandar pula
menjalankan perniagaan dan ada juga yang berkerja di
industri perkilangan (kilang papan lapis)," katanya.

Anggi Linggan, 62, berkata jaringan pengangkutan
melalui jalan darat antara pekan Bintangor dengan
Sarikei dan Sibu, kini semakin baik dan lancar
berbanding satu ketika dahulu.

"Pengunjung daerah ini boleh menggunakan kenderaan
persendirian ataupun pengangkutan awam seperti bas
dari pekan ini ke Sarikei yang mengambil masa
perjalanan selama setengah jam atau 44 km dan begitu
juga kalau hendak ke Sibu yang mengambil masa lebih
daripada setengah jam perjalanan atau sejauh 55 km
melalui Jalan Lanang.

"Pengangkutan sungai seperti perahu panjang dan bot
persendirian masih digunakan penduduk yang tinggal di
kawasan berhampiran sungai untuk datang ke Pekan
Bintangor," katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk di daerah
itu menerima kemudahan bekalan air bersih, begitu juga
dengan bekalan elektrik.

Kemudahan telefon juga semakin meluas ekoran
terdapatnya perkhidmatan telefon bimbit berbanding
sebelum ini kemudahan telefon hanya tertumpu di
kawasan pekan.

Manakala pesara kerajaan Wong King Tee, 73, berkata
walaupun pekan itu masih serba kekurangan namun aspek
pendidikan tidak pernah diabaikan.

"Setakat ini Daerah Meradong sudah melahirkan ramai
tokoh pendidik yang mendapat pendidikan contohnya di
Institut Perguruan Rajang yang sebelum ini dikenali
sebagai Maktab Perguruan Rajang (MPR) yang terletak di
Jalan KJD iaitu 16 km dari Pekan Bintangor.

"IPR diwujudkan melalui Rancangan Columbo pada 1967
adalah hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan
kerajaan New Zealand, berjaya menyumbangkan kepada
kemajuan pendidikan terutama di Wilayah Tengah Sarawak
sehingga ke hari ini," katanya.

Wong berkata, pendidikan prasekolah juga
dititikberatkan di daerah itu dengan wujudnya lebih 10
tadika yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat
dan beberapa tadika yang dikendalikan pihak swasta.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong
Hiing, berkata keputusan Ting sejak 15 tahun lalu
untuk membina sebuah kampus cawangan Kolej Tunku Abdul
Rahman, yang diperjuangkan oleh MCA yang diumumnya
baru-baru ini pasti akan mempopularkan lagi daerah
Bintangor.

Beliau berkata, Ting membelanjakan RM30 juta bagi
membeli sebuah padang di pinggir bandar ini bagi
tujuan itu, yang sudah mendapat sokongan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kewujudan kolej itu antara usaha untuk melahirkan
lebih ramai modal insan yang akan mengisi pelbagai
peluang yang tiada hadnya daripada pembangunan di
bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), di
mana Kerajaan Pusat memberi peruntukan awal sebanyak
RM5 bilion.

"Lagipun Sarikei terletak di tengah-tengah jaluran
Score dari Similajau di Bintulu ke Tanjung Manis,
tidak jauh dari sini dan di sinilah peniaga kita boleh
mendapat manfaat besar," katanya.

No comments: