Thursday, April 8, 2010

Diselamatkan

Tubuhku masih menggigil meskipun dilitupi selimut tebal. Badanku terasa lesu sekali tetapi semangatku masih kuat. Itulah sebabnya aku masih bertahan sehingga sekarang. Pengalaman dua hari ini memang akan menemani memori aku buat seumur hidup.

Seorang anggota Pertahanan Awam menghulurkan sebotol air mineral kepada aku. Aku tidak mampu senyum atau berterima kasih, hanya sempat menghulurkan tangan untuk menyambut pemberian itu.

Kelipan lampu kenderaan-kenderaan Polis dan Bomba semakin menghilang jauh ke hadapan. Aku dibawa duduk ke dalam ambulans Bulan Sabit Merah lalu pintu belakang ambulans ditutup. Terasa tiupan penghawa dingin menusuk ke dalam tulang-tulang badan, begitu sejuk sekali! Sekali-sekala aku memandang keluar, ternampak dedaun dan pepohon yang memberikan pengalaman buruk selama dua hari ini. Tersesat dalam hutan bukan main keperitannya!

Menyesal juga apabila diimbas kembali keinginan untuk mencari lokasi air terjun yang dikatakan begitu indah dan menyeronokkan. Memang tersalah langkah untuk menolak tawaran baik tuai rumah yang mencadangkan anak muda di rumah panjangnya membuka jalan untuk aku tiba di air terjun itu. Ingatkan kemahiran membaca peta dan menggunakan alatan-alatan menggembara sudah lebih mencukupi untuk menjejak lokasi air terjun, terbukti keegoan ini membawa padah kepada sendiri.

Pada malam pertama aku sesat dalam hutan, segalanya masih dalam kawalan kerana makanan dan minuman masih mencukupi. Bertilamkan tanah, berselimut dengan langit, dan haba daripada unggun api yang dihidupkan, malam pertama masih aman bahagia. Namun aku hampir putus semangat pada pagi keesokan apabila bangun daripada tidur. Barangan yang terdapat dalam beg bertaburan di atas lantai. Makanan-makanan seperti roti dan coklat sudah hilang manakala banyak benda-benda lain hilang. Memang sah ini kerja-kerja kumpulan si beruk yang sedang memandang aku dengan penuh rasa gembira dan puas hati, seperti sudah membalas dendam kesumat yang terbenam berdekad lamanya.

Aku tidak lagi seperti malam pertama. Perutku berkeroncang, tekakku dahaga dan tubuhku sejuk. Aku tidak dapat melelapkan mata, takut akan diikat dan diculik oleh beruk-beruk, takut dibaham harimau, takut ular sawa membelitku semasa tidur. Begitu sengsaranya terpaksa berjaga untuk menjaga keselamatan diri. Di hadapan mata semuanya gelap gelita. Sekali-kali terdengar bunyi-bunyi serangga dan bintang yang menyeramkan. Malam kedua terasa begitu lama. Detikkan jam tangan dapat dirasa seperti berjalan dengan lebih lambat daripada biasa.

Aku ditemui terlelap di bawah pokok oleh kumpulan penjejak yang terdiri daripada anggota Pertahanan Awam, Bomba, dan beberapa penduduk tempatan pada waktu subuh.

Atendan ambulans memasang intravenous solution pada tangan aku. Disalurkan cecair dalam paket dengan tulisan NSD5 ke dalam badan aku. Selama ini memang tugas aku memasang IV untuk orang lain tetapi nampaknya kali ini peranan ini sudah bertukar kepada orang lain manakala aku terpaksa berbaring di atas strether.

Sekarang aku berasa bersyukur. Aku melelapkan mata. Kali ini, aku tidur dengan lelap. Tidak perlu risaukan beruk, harimau atau ular. Atendan memberitahu aku, "engkau senyum tersengih-sengih semasa engkau tidur tadi".