Friday, August 27, 2010

"orang-orang" =/= "ramai orang"

Memartarbatkan Bahasa Melayu mula diwar-warkan dalam masyarakat Malaysia sejak kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI. Lapisan masyarakat mula memberikan perhatian dalam usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Meskipun usaha-usaha ini nampak bersemangat dan patriotik, adalah usaha-usaha dan wang ringgit yang ditaburkan ini berbaloi?

Saya memetik situasi yang paling mudah difahami. Dalam kamus Bahasa Melayu, "orang" bermaksud seorang manusia dan "orang-orang" pula membawa maksud bahan-bahan yang diikat/ dihias seperti manusia untuk menakut-nakutkan burung-burung di sawah. Tidak diterangkan bahawa "orang-orang" membawa maksud ramai orang ataupun lebih daripada seorang manusia. Konsep ini memang difahami murid-murid tahun 4 dan ke atas di sekolah-sekolah rendah di Malaysia. Malah, soalan ini sering keluar dalam soalan-soalan UPSR untuk menguji murid-murid dalam penguasaan kata ganda.

Namun perkara yang amat membingungkan saya, konsep semudah tahap tahun 4 tidak difahami pula oleh golongan profesional. Izinkan saya membuat pembetulan, mereka bukannya tidak faham tetapi tidak mempraktikkan konsep yang tepat. Saya mengesan kesalahan ini semasa saya menghadiri kursus di kolej. 3 orang pensyarah Pengajian Melayu didapati menggunakan "orang-orang" untuk maksud lebih daripada satu orang. Bukan sahaja pensyarah, malahan dalam berita TV1 dan ucapan ahli-ahli politik, saya juga dapat mengesan kesalahan yang sama. Sememangnya saya sensitif terhadap kesalahan sebegini disebabkan keperluan tugas saya. Terdapat beberapa orang yang dikenali sebagai "sasterawan" juga dikesan dalam cerpen/novel tulisan mereka. Saya diberitahu bahawa mereka tidak terikat dengan peraturan ini atas nama kepuitisan dan gaya bahasa yang berbeza.

Golongan profesional ini adalah barisan hadapan dalam memartarbatkan Bahasa Melayu tetapi melakukan kesalahan semudah itu? Adakah ini memartabat atau memperlekehkan Bahasa Melayu? Renungkanlah...

No comments: